Penglibatan dalam kemasyarakatan Jahid Sidek

Haji Jahid bergiat aktif dalam masyarakat sebagai pemimpin Islam setempat dengan usaha membangunkan hal ehwal agama Islam seperti surau, masjid dan sekolah agama dan aktif berdakwah membimbing masyarakat setempat melalui ceramah dan rawatan Islam. Beliau pernah menjadi Nazir Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang (1990 – 2004), Pengerusi Surau An-Nur, Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang (1988 – 1990) dan menjadi pengasas dan Pengerusi Sekolah Agama Rakyat An-Nur Kampung Melayu Sri Kundang (1988 – 1990). Kini sekolah tersebut menjadi Sekolah Rendah Agama An-Nur, Kampung Melayu Sri Kundang.

Beliau turut aktif melibatkan diri dalam badan bukan kerajaan yang bertemakan rawatan Islam dan pemulihan diri, iaitu Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI). Beliau juga mengasaskan Pusat Rawatan Islam Manarah[3] yang menawarkan kaedah rawatan refleksologi kerohanian Islam di Kluang, Rawang pada 1990. Beliau juga mewujudkan Rumah Kebajikan dan Perlindungan Budi (Astana Budi) bagi memberi perlindungan, rawatan serta ruang kepada penghidap HIV untuk meneruskan kehidupan seperti orang lain[4].